Sunday, December 20, 2009

JPAM Sedia Pikul Tugas Jadi Pengawal Keselamatan

Khamis Disember 17, 2009
KUALA TERENGGANU: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bersedia memikul tugas sebagai pengawal keselamatan bagi menggantikan pekerja asing dalam usaha mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor berkenaan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Halim Abdul Hamid berkata, JPAM dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) mempunyai bilangan anggota sukarelawan yang ramai dan terlatih, justeru itu tidak ada sebab negara perlu bergantung kepada pengawal keselamatan daripada luar terutamanya dari Nepal.
"Bagi tujuan itu kita telah mengadakan beberapa siri perbincangan dan mesyuarat dengan Persatuan Pengawal Keselamatan Malaysia (PPKM). Pada peringkat akhir perbincangan, mereka sudah bersetuju mengambil anggota JPAM dan RELA untuk menjadi pengawal keselamatan," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Perhimpunan Pertahanan Awam Peringkat Kebangsaan 2009 di sini hari ini.
Abdul Halim berkata, demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Mahmood Adam mengenai cadangan kerajaan untuk mengambil lebih sejuta anggota Rela dan JPAM untuk bekerja sambilan sebagai pengawal keselamatan bagi menggantikan pekerja asing.
Pada masa ini katanya, JPAM mempunyai kira-kira 80,000 anggota dan akan ditambah menjadi 100,000 sehingga akhir tahun ini, manakala RELA pula mempunyai sejuta anggota yang terlatih.
"Apabila syarikat pengawal keselamatan swasta mengambil pengawal keselamatan di kalangan anggota JPAM dan RELA, mereka tidak perlu lagi menjalani latihan keras kerana mereka sudah mahir dalam selok belok mengawal keselamatan," katanya.
Abdul Halim berkata, ini sekaligus membuka peluang pekerjaan tetap bagi anggota JPAM yang tidak mempunyai pekerjaan yang tetap.
Bagaimanapun katanya, syarikat-syarikat berkenaan perlu menimbang untuk menyediakan gaji yang lebih menarik untuk pekerja tempatan, setimpal dengan tugas yang akan dilaksanakan. - BERNAMA

Tidak sedar sarang tebuan atas pokok kelapa


TITI GAJAH- Terkejut dengan kehadiran sarang tebuan sebesar pemeluk orang dewasa di atas sebatang pokok kelapa di hadapan rumahnya di Kampung Selarung, di sini, seorang suri rumah bertindak menghubungi talian kecemasan 999.

Saadiah Mansur, 57, berkata, dia langsung tidak menyedari kehadiran sarang tebuan itu sehingga dia diberitahu oleh jiran yang lalu di hadapan rumahnya itu.

Menurutnya, apabila menyedarinya dia segera meminta bantuan penduduk kampung untuk membantu membuang sarang tebuan tersebut.

“Namun disebabkan keadaan sarang tebuan itu berada di ketinggian hampir 100 kaki di atas, maka ia agak sukar dibuang tambahan pula ia bahaya jika dibuang sendiri tanpa menggunakan alat yang sesuai,” katanya kepada Sinar Harian.

Saadiah berkata, pokok kelapa yang berusia lebih 50 tahun itu sebelum ini tidak pernah ada sarang tebuan seperti itu dan kejadian itu adalah yang pertama kali sejak mendiami rumahnya itu.

Menurutnya, dia bimbang jika sarang tebuan itu dibiarkan, maka keselamatan penduduk kampung yang melalui jalan di bawah pokok kelapa itu akan terancam terutama kepada kanak-kanak yang bermain di kawasan sekitar.

“Saya bimbang keselamatan sesiapa sahaja boleh terancam jika sarang tebuan itu dibiarkan, jadi saya bertindak menghubungi talian kecemasan bagi membuang dan memusnahkannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kota Setar, Koperal Salim Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.01 pagi dan beliau bersama dua anggota lain bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

Menurutnya, setiba di lokasi, beliau bersama anggotanya membuat tinjauan terlebih dahulu dan mendapati memang terdapat sarang tebuan di atas pokok kelapa tersebut.

“Pada mulanya kami mengalami sedikit kesukaran kerana keadaan pokok itu tinggi dan dengan tiupan angin yang kuat boleh membahayakan anggota operasi dan penduduk jika api yang dihalakan ke sarang tidak mengena, tebuan akan keluar dari sarang dan bertindak agresif.

“Bagaimanapun, anggota kami berjaya memusnahkan sarang tebuan tersebut dalam masa 45 minit dan tanpa menimbulkan sebarang kecederaan kepada orang lain,” katanya.- sumber sinar harian -

Tuesday, December 15, 2009

Pasukan bola sepak JPAM Daerah Kota Setar mantapkan kemahiran


Oleh : Shahful Bakri B Abd Razak
( JPAM Daerah Kota Setar )



ALOR SETAR –16 November 2009 Walaupun berjaya menjadi naib juara dalam pertandingan bola sepak baru-baru ini semperna sambutan Hari Pertahanan Awam Peringkat Negeri Kedah di sungai petani,skuad bola sepak JPAM KOTA SETAR masih belum berpuas hati dengan gelaran itu.Skuad bola sepak ini juga berazam agar dapat merangkul gelaran juara dengan memantapkan lagi corak permainan untuk menghadapi pertandingan pada masa akan datang.
Pasukan bola sepak yang baru di tubuhkan dua tahun lalu memerlukan banyak latihan malah harus bekerja keras bagi memastikan setiap perlawanan yang disertai menjadi juara,dan secara tidak langsung ia akan meningkatkan nama baik JPAM Daerah Kota Setar.

BULETIN JPAM DAERAH KOTA SETAR





ALOR SETAR – 13hb. Disember Pengarah Pertahanan Awam Negeri Kedah,
Mejar (PA) Mohtar bin Samat memberi taklimat kepada 84 perseta yang terlibat didalam pertandingan kecekapan yang akan diadakan di Terengganu pada 13hb hingga 18hb. Disember 2009 sempena sambutan hari pertahanan awam Malaysia peringkat kebangsaan.Antara aktiviti pertandingan yang di jalankan pada hari tersebut adalah Jalan Lasak,Menyelamat Tempat Tinggi,Melawan Kebakaran, Kawad Kaki dan Petolongan Cemas.

Dalam ucapan Pengarah JPAM Kedah, Mejar (PA) Mohtar Samat berkata, “memohon semua sentiasa berdisiplin dan menjaga imej JPAM Negeri Kedah dari kacamata JPAM Negeri-negeri yang lain dan kerja sama antara anggota yang terlibat, jangan ada di kalangan anggota yang bersikap berpuak-puak sesama anggota dan beliau juga berbangga dengan komitmen yang ditunjukkan oleh anggota-angota didalam latihan yang di jalankan selama ini.

JPAM Negeri Kedah perlu komited dengan pertandingan yang akan diadakan dan berjaya membawa pulang kejayaan ,secara tidak langsung ia akan meningkatkan lagi nama baik JPAM Negeri Kedah,”katanya.

Peragut nyawa di bawah almari


KUALA KEDAH – “Nasib baik ular tedung senduk itu tidak bertindak agresif ketika abang ipar terjumpa haiwan itu ketika hendak bersolat Maghrib di rumahnya di depan Lorong 7, Jalan Kilang,” kata Ahmad Yusof Ismail, 53, kepada Sinar Harian di sini.

Yusof berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 7.15 malam semasa abang iparnya, Abd Halim Zakaria, 55, ingin menunaikan solat Maghrib di bahagian atas rumahnya.

Menurutnya, mujur sebelum dia bersolat, dia terdengar bunyi haiwan berkenaan dan meninjau sekitar bilik untuk mencari punca bunyi itu, lalu menjumpai ular tedung senduk berkenaan berada di bawah almari pakaian.

“Terkejut dengan kehadiran haiwan berbisa ini, abang saya menjerit dan kedengaran bunyi bising dari rumahnya yang terletak bersebelahan rumah saya, lantas saya keluar untuk melihat.

“Setelah sampai, saya terkejut apabila ternampak kelibat seekor ular yang sebesar lengan orang dewasa berlingkar di bawah almari pakaian dalam bilik abang ipar.

“Nasib baik ketika kejadian, anak dan isterinya berada di bahagian bawah rumah dan tiada kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Yusof berkata, takut untuk bertindak sendiri, apatah lagi membunuh haiwan itu, mereka terus menghubungi Balai Polis Kuala Kedah untuk mendapatkan pertolongan.

Menurutnya, walaupun hampir satu jam menunggu :kedata�ngan penyelamat, ular berkenaan tidak berganjak dari bawah almari pakaian itu, malah tidak bertindak agresif sehingga Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Kota Setar tiba.

Sementara itu, Ketua Skuad JPAM Daerah Kota Setar, Koperal Salim Abd Aziz berkata, mereka menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8.15 malam mengenai ular itu di rumah pemanggil berkenaan.

Menurutnya, setibanya di rumah berkenaan kira-kira 15 minit kemudian, mereka meninjau di sekitar rumah dan bilik itu sebelum membuat tangkapan.

“Bersama empat anggota JPAM ini, kami berjaya menemui ular berkenaan yang masih berlingkar di bawah almari pakaian tanpa berganjak atau bertindak agresif.

“Hampir 30 minit, ular ini berjaya ditangkap memandangkan keadaan bilik berkenaan yang agak sempit dan kami bimbang jika ular ini bertindak ganas, namun tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Zalim berkata, ular tedung senduk sepanjang 1.8 meter itu telah dibawa ke Pusat Kawalan 999 JPAM Daerah Kota Setar sebelum diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Negeri.

Menurutnya, sepanjang minggu ini, anggota JPAM telah berjaya menangkap pelbagai jenis ular berbisa di beberapa kawasan termasuk di Jitra setelah menerima panggilan kecemasan.-sumber sinar harian

Sunday, November 29, 2009

Abseling Menara Alor Setar






Keberanian anggota-anggota Jabatan Pertahanan Awam Daerah Kota Setar Melakukan abseling di menara Alor Setar baru-baru ini

Keratan Sinar Harian 30 Nov 2009

Keratan Sinar Harian 25 nov 2009

Saturday, November 28, 2009

Dua kanak-kanak perempuan rentung



Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my







ALOR SETAR 30 Sept. – Dua kanak-kanak perempuan rentung setelah terperangkap dalam kebakaran menyayat hati yang memusnahkan 10 buah rumah di Kampung Kilat di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa yang merupakan adik-beradik, Nur Faiza Naziha Mohd. Farid, 2, dan kakaknya, Nur Faiza Natasha, 4, gagal diselamatkan kerana api marak dengan cepat membakar rumah dua tingkat separa papan dan simen yang didiami mereka.

Api yang merebak turut membakar rumah lain yang kebanyakannya diperbuat daripada papan dan terletak berdekatan.

Nenek kanak-kanak malang itu yang menjaga mangsa ketika kejadian, Zawiyah Awang, 69, berada di luar dan hanya menyedari rumah mereka terbakar apabila dimaklumkan oleh seorang jiran yang ternampak kepulan asap di udara.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab berkata, mayat dua beradik malang itu ditemui berdekatan iaitu kira-kira satu meter antara satu sama lain di dalam sebuah bilik di rumah itu.

Katanya, selain rumah kanak-kanak itu, siasatan awal mendapati, lapan hingga 10 buah rumah lagi turut hangus tetapi tiada kecederaan dilaporkan.

“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih disiasat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak, Pegawai Bomba Kanan Kamis Idris berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 10.57 pagi berhubung kebakaran tersebut.

Menurutnya, sebanyak tiga buah jentera bomba dari Jalan Tun Razak, di sini dengan kekuatan 14 anggota dibantu empat pasukan bomba dan penyelamat sukarela bergegas ke tempat kejadian sejurus selepas menerima panggilan daripada orang awam.

Katanya, api marak dan merebak dengan cepat berikutan kedudukan rumah-rumah itu yang agak rapat, selain tiupan angin yang agak kuat menyebabkan api mudah merebak.

Pihaknya bagaimanapun berjaya mengawal kebakaran kira-kira 30 minit kemudian.

“Jentera bomba juga sukar memasuki lokasi kejadian. Kami turut mendapat punca air daripada sungai yang terletak berhampiran,” katanya.

Sementara itu, semua mangsa yang hilang tempat tinggal akibat kebakaran itu ditempatkan di surau di kampung berkenaan bagi memudahkan urusan bantuan termasuk daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Wednesday, November 25, 2009

Ular tedung selar mengganas, kejutkan suri rumah



POKOK SENA 28 Sept. - Seorang suri rumah dan tujuh orang anaknya terpaksa melalui detik-detik cemas selama tiga jam berdepan dengan seekor ular tedung selar sepanjang empat meter yang 'mengganas' di rumah mereka di Kampung Bukit Teriak di sini semalam.
Malah, reptilia berwarna kuning keemasan itu amat agresif apabila mengejar salah seorang anak lelaki suri rumah itu yang berusia 11 tahun sehingga ke kawasan sungai berhampiran rumah mereka.
Munirah Mustaffa, 42, memberitahu, ketika kejadian kira-kira pukul 3 petang, mereka sekeluarga sedang bersiap untuk melawat seorang saudara yang sedang sakit di Bukit Raya, Pendang.
"Anak lelaki saya, Mohd. Sidqi sebelum itu meminta izin saya untuk mendengar lagu dalam kereta sementara menunggu saya dan anak-anak lain bersiap.
"Pada masa yang sama, kami terdengar bunyi bising dua ekor kera peliharaan kami. Anak saya pada mulanya ingatkan ada kera lain dari hutan datang, namun rupa-rupanya ia disebabkan seekor ular tedung selar berhampiran rumah kami," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Munirah, anak lelakinya itu kemudian berlari sehingga ke depan pintu rumah sambil menjerit ada ular tedung selar di rumah kami.
"Saya nampak ular itu mengejar anak saya. Disebabkan terkejut saya segera menutup pintu.
"Selepas itu barulah saya sedar anak lelaki saya masih berada di luar dan dari tingkap saya nampak dia berlari sehingga ke sungai di depan rumah kami yang jaraknya kira-kira lima meter," katanya.
Ujarnya, nasib anak lelakinya baik apabila ular tedung selar itu berpatah balik menuju ke rumah mereka apabila ternampak anak kucing peliharaannya di depan rumah dan terus mengejar kucing tersebut sehingga ke kawasan belakang rumah mereka.
Katanya, penduduk kampung yang terdengar jeritan mereka segera datang namun mereka turut takut apabila melihat ular tedung ini yang agresif apabila didekati.
Tambahnya, dalam keadaan panik itu dia sempat menghubungi pihak bomba untuk menangkap ular tersebut.
"Kira-kira pukul 6.30 petang, anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sampai dan mengambil masa kira-kira sejam untuk menangkap ular itu," katanya.
Tambah Munirah, dia bersyukur anak lelakinya itu terselamat dan sehingga hari ini mereka sekeluarga sukar untuk melelapkan mata kerana masih terbayangkan ular tersebut.
"Setiap kali hendak tidur, kami sekeluarga terbayang ular tedung selar itu. Bayangkan selama hampir tiga jam kami berdepan dengan ular itu sebelum ia berjaya ditangkap," jelasnya.---sumber Utusan Malaysia.

Pindah


Dari utusan Malaysia.Com.My > Anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bertungkus lumus menyelamatkan mangsa-mangsa banjir di Kampung Alor Gunung, Alor Star, semalam.
Seramai 1,249 orang daripada 293 keluarga di lima daerah di Kedah terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan selepas rumah mereka dinaiki air ekoran hujan lebat sejak kelmarin. Mangsa banjir di Kampung Alor Gunung, Alor Star terpaksa dipindahkan menggunakan bot penyelamat. Kesemua mereka dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Gunung, Gunung Keriang, Alor Star.

Tedung selar 3.6 meter ‘tewas’ di tangan anggota JPAM

ALOR SETAR - Tiga anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berjaya menangkap seekor ular Tedung Selar sepanjang 3.6 meter (12 kaki) di sebuah rumah di Jitra, tengah malam semalam. Koperal Salim Aziz dari Pusat Kawalan 999 JPAM Kota Setar berkata, sekitar jam 12.30 tengah malam semalam, unit itu menerima panggilan kecemasan daripada sebuah rumah di Kampung Lubuk Batu, Jalan Wang Tepus yang mengatakan seekor ular telah masuk ke dalam rumah. Berikutan itu, tiga anggota bergegas ke tempat kejadian dan mengambil masa sekitar lima minit untuk menangkap ular yang bersembunyi di bawah kabinet dalam sebuah bilik tidur. “Pihak JPAM tidak berdepan dengan sebarang masalah kerana ular itu tidak agresif. Kami mengambil masa sekitar lima minit untuk menangkapnya kerana ular itu duduk dalam keadaan melilit dan menyukarkan anggota untuk menariknya keluar,” katanya. Salim berkata, kawasan Jitra, Kuala Nerang dan Bukit Pinang antara kawasan paling banyak kes tangkapan ular memandangkan berdekatan kawasan hutan dan bukit bukau. Menurutnya, setiap bulan JPAM menerima sekitar 60 hingga 70 panggilan kecemasan membabitkan tangkapan ular, dan paling banyak jenis ular sawa, tedung senduk dan susuk kerbau.--sumber sinar harian.

Monday, November 23, 2009

Banjir di Kedah semakin buruk


ALOR SETAR - Banjir di Kedah semakin buruk apabila 2,171 mangsa daripada 533 keluarga telah dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di negeri ini berbanding hanya 679 mangsa daripada 158 keluarga kelmarin.
Menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir negeri, setakat semalam sebanyak 14 pusat penempatan banjir telah dibuka di empat daerah iaitu Padang Terap, Kubang Pasu, Pokok Sena dan Kota Setar.
"Mangsa di Daerah Kubang Pasu paling ramai dipindahkan iaitu 502 orang daripada 125 keluarga.
"Kubang Pasu mencatat 431 mangsa daripada 117 keluarga, Pokok Sena 376 mangsa dengan 84 keluarga dan Padang Terap mencatat 29 mangsa daripada tujuh keluarga," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.--sumber kosmo