Wednesday, November 25, 2009

Ular tedung selar mengganas, kejutkan suri rumah



POKOK SENA 28 Sept. - Seorang suri rumah dan tujuh orang anaknya terpaksa melalui detik-detik cemas selama tiga jam berdepan dengan seekor ular tedung selar sepanjang empat meter yang 'mengganas' di rumah mereka di Kampung Bukit Teriak di sini semalam.
Malah, reptilia berwarna kuning keemasan itu amat agresif apabila mengejar salah seorang anak lelaki suri rumah itu yang berusia 11 tahun sehingga ke kawasan sungai berhampiran rumah mereka.
Munirah Mustaffa, 42, memberitahu, ketika kejadian kira-kira pukul 3 petang, mereka sekeluarga sedang bersiap untuk melawat seorang saudara yang sedang sakit di Bukit Raya, Pendang.
"Anak lelaki saya, Mohd. Sidqi sebelum itu meminta izin saya untuk mendengar lagu dalam kereta sementara menunggu saya dan anak-anak lain bersiap.
"Pada masa yang sama, kami terdengar bunyi bising dua ekor kera peliharaan kami. Anak saya pada mulanya ingatkan ada kera lain dari hutan datang, namun rupa-rupanya ia disebabkan seekor ular tedung selar berhampiran rumah kami," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Munirah, anak lelakinya itu kemudian berlari sehingga ke depan pintu rumah sambil menjerit ada ular tedung selar di rumah kami.
"Saya nampak ular itu mengejar anak saya. Disebabkan terkejut saya segera menutup pintu.
"Selepas itu barulah saya sedar anak lelaki saya masih berada di luar dan dari tingkap saya nampak dia berlari sehingga ke sungai di depan rumah kami yang jaraknya kira-kira lima meter," katanya.
Ujarnya, nasib anak lelakinya baik apabila ular tedung selar itu berpatah balik menuju ke rumah mereka apabila ternampak anak kucing peliharaannya di depan rumah dan terus mengejar kucing tersebut sehingga ke kawasan belakang rumah mereka.
Katanya, penduduk kampung yang terdengar jeritan mereka segera datang namun mereka turut takut apabila melihat ular tedung ini yang agresif apabila didekati.
Tambahnya, dalam keadaan panik itu dia sempat menghubungi pihak bomba untuk menangkap ular tersebut.
"Kira-kira pukul 6.30 petang, anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sampai dan mengambil masa kira-kira sejam untuk menangkap ular itu," katanya.
Tambah Munirah, dia bersyukur anak lelakinya itu terselamat dan sehingga hari ini mereka sekeluarga sukar untuk melelapkan mata kerana masih terbayangkan ular tersebut.
"Setiap kali hendak tidur, kami sekeluarga terbayang ular tedung selar itu. Bayangkan selama hampir tiga jam kami berdepan dengan ular itu sebelum ia berjaya ditangkap," jelasnya.---sumber Utusan Malaysia.

No comments:

Post a Comment