Tuesday, December 15, 2009

Peragut nyawa di bawah almari


KUALA KEDAH – “Nasib baik ular tedung senduk itu tidak bertindak agresif ketika abang ipar terjumpa haiwan itu ketika hendak bersolat Maghrib di rumahnya di depan Lorong 7, Jalan Kilang,” kata Ahmad Yusof Ismail, 53, kepada Sinar Harian di sini.

Yusof berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 7.15 malam semasa abang iparnya, Abd Halim Zakaria, 55, ingin menunaikan solat Maghrib di bahagian atas rumahnya.

Menurutnya, mujur sebelum dia bersolat, dia terdengar bunyi haiwan berkenaan dan meninjau sekitar bilik untuk mencari punca bunyi itu, lalu menjumpai ular tedung senduk berkenaan berada di bawah almari pakaian.

“Terkejut dengan kehadiran haiwan berbisa ini, abang saya menjerit dan kedengaran bunyi bising dari rumahnya yang terletak bersebelahan rumah saya, lantas saya keluar untuk melihat.

“Setelah sampai, saya terkejut apabila ternampak kelibat seekor ular yang sebesar lengan orang dewasa berlingkar di bawah almari pakaian dalam bilik abang ipar.

“Nasib baik ketika kejadian, anak dan isterinya berada di bahagian bawah rumah dan tiada kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Yusof berkata, takut untuk bertindak sendiri, apatah lagi membunuh haiwan itu, mereka terus menghubungi Balai Polis Kuala Kedah untuk mendapatkan pertolongan.

Menurutnya, walaupun hampir satu jam menunggu :kedata�ngan penyelamat, ular berkenaan tidak berganjak dari bawah almari pakaian itu, malah tidak bertindak agresif sehingga Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Kota Setar tiba.

Sementara itu, Ketua Skuad JPAM Daerah Kota Setar, Koperal Salim Abd Aziz berkata, mereka menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8.15 malam mengenai ular itu di rumah pemanggil berkenaan.

Menurutnya, setibanya di rumah berkenaan kira-kira 15 minit kemudian, mereka meninjau di sekitar rumah dan bilik itu sebelum membuat tangkapan.

“Bersama empat anggota JPAM ini, kami berjaya menemui ular berkenaan yang masih berlingkar di bawah almari pakaian tanpa berganjak atau bertindak agresif.

“Hampir 30 minit, ular ini berjaya ditangkap memandangkan keadaan bilik berkenaan yang agak sempit dan kami bimbang jika ular ini bertindak ganas, namun tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Zalim berkata, ular tedung senduk sepanjang 1.8 meter itu telah dibawa ke Pusat Kawalan 999 JPAM Daerah Kota Setar sebelum diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Negeri.

Menurutnya, sepanjang minggu ini, anggota JPAM telah berjaya menangkap pelbagai jenis ular berbisa di beberapa kawasan termasuk di Jitra setelah menerima panggilan kecemasan.-sumber sinar harian

No comments:

Post a Comment