Saturday, November 28, 2009

Dua kanak-kanak perempuan rentung



Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my







ALOR SETAR 30 Sept. – Dua kanak-kanak perempuan rentung setelah terperangkap dalam kebakaran menyayat hati yang memusnahkan 10 buah rumah di Kampung Kilat di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa yang merupakan adik-beradik, Nur Faiza Naziha Mohd. Farid, 2, dan kakaknya, Nur Faiza Natasha, 4, gagal diselamatkan kerana api marak dengan cepat membakar rumah dua tingkat separa papan dan simen yang didiami mereka.

Api yang merebak turut membakar rumah lain yang kebanyakannya diperbuat daripada papan dan terletak berdekatan.

Nenek kanak-kanak malang itu yang menjaga mangsa ketika kejadian, Zawiyah Awang, 69, berada di luar dan hanya menyedari rumah mereka terbakar apabila dimaklumkan oleh seorang jiran yang ternampak kepulan asap di udara.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab berkata, mayat dua beradik malang itu ditemui berdekatan iaitu kira-kira satu meter antara satu sama lain di dalam sebuah bilik di rumah itu.

Katanya, selain rumah kanak-kanak itu, siasatan awal mendapati, lapan hingga 10 buah rumah lagi turut hangus tetapi tiada kecederaan dilaporkan.

“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih disiasat,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak, Pegawai Bomba Kanan Kamis Idris berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 10.57 pagi berhubung kebakaran tersebut.

Menurutnya, sebanyak tiga buah jentera bomba dari Jalan Tun Razak, di sini dengan kekuatan 14 anggota dibantu empat pasukan bomba dan penyelamat sukarela bergegas ke tempat kejadian sejurus selepas menerima panggilan daripada orang awam.

Katanya, api marak dan merebak dengan cepat berikutan kedudukan rumah-rumah itu yang agak rapat, selain tiupan angin yang agak kuat menyebabkan api mudah merebak.

Pihaknya bagaimanapun berjaya mengawal kebakaran kira-kira 30 minit kemudian.

“Jentera bomba juga sukar memasuki lokasi kejadian. Kami turut mendapat punca air daripada sungai yang terletak berhampiran,” katanya.

Sementara itu, semua mangsa yang hilang tempat tinggal akibat kebakaran itu ditempatkan di surau di kampung berkenaan bagi memudahkan urusan bantuan termasuk daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

No comments: