Sunday, December 20, 2009

Tidak sedar sarang tebuan atas pokok kelapa


TITI GAJAH- Terkejut dengan kehadiran sarang tebuan sebesar pemeluk orang dewasa di atas sebatang pokok kelapa di hadapan rumahnya di Kampung Selarung, di sini, seorang suri rumah bertindak menghubungi talian kecemasan 999.

Saadiah Mansur, 57, berkata, dia langsung tidak menyedari kehadiran sarang tebuan itu sehingga dia diberitahu oleh jiran yang lalu di hadapan rumahnya itu.

Menurutnya, apabila menyedarinya dia segera meminta bantuan penduduk kampung untuk membantu membuang sarang tebuan tersebut.

“Namun disebabkan keadaan sarang tebuan itu berada di ketinggian hampir 100 kaki di atas, maka ia agak sukar dibuang tambahan pula ia bahaya jika dibuang sendiri tanpa menggunakan alat yang sesuai,” katanya kepada Sinar Harian.

Saadiah berkata, pokok kelapa yang berusia lebih 50 tahun itu sebelum ini tidak pernah ada sarang tebuan seperti itu dan kejadian itu adalah yang pertama kali sejak mendiami rumahnya itu.

Menurutnya, dia bimbang jika sarang tebuan itu dibiarkan, maka keselamatan penduduk kampung yang melalui jalan di bawah pokok kelapa itu akan terancam terutama kepada kanak-kanak yang bermain di kawasan sekitar.

“Saya bimbang keselamatan sesiapa sahaja boleh terancam jika sarang tebuan itu dibiarkan, jadi saya bertindak menghubungi talian kecemasan bagi membuang dan memusnahkannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kota Setar, Koperal Salim Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.01 pagi dan beliau bersama dua anggota lain bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

Menurutnya, setiba di lokasi, beliau bersama anggotanya membuat tinjauan terlebih dahulu dan mendapati memang terdapat sarang tebuan di atas pokok kelapa tersebut.

“Pada mulanya kami mengalami sedikit kesukaran kerana keadaan pokok itu tinggi dan dengan tiupan angin yang kuat boleh membahayakan anggota operasi dan penduduk jika api yang dihalakan ke sarang tidak mengena, tebuan akan keluar dari sarang dan bertindak agresif.

“Bagaimanapun, anggota kami berjaya memusnahkan sarang tebuan tersebut dalam masa 45 minit dan tanpa menimbulkan sebarang kecederaan kepada orang lain,” katanya.- sumber sinar harian -

No comments:

Post a Comment