Sunday, December 20, 2009

JPAM Sedia Pikul Tugas Jadi Pengawal Keselamatan

Khamis Disember 17, 2009
KUALA TERENGGANU: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bersedia memikul tugas sebagai pengawal keselamatan bagi menggantikan pekerja asing dalam usaha mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor berkenaan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Halim Abdul Hamid berkata, JPAM dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) mempunyai bilangan anggota sukarelawan yang ramai dan terlatih, justeru itu tidak ada sebab negara perlu bergantung kepada pengawal keselamatan daripada luar terutamanya dari Nepal.
"Bagi tujuan itu kita telah mengadakan beberapa siri perbincangan dan mesyuarat dengan Persatuan Pengawal Keselamatan Malaysia (PPKM). Pada peringkat akhir perbincangan, mereka sudah bersetuju mengambil anggota JPAM dan RELA untuk menjadi pengawal keselamatan," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Perhimpunan Pertahanan Awam Peringkat Kebangsaan 2009 di sini hari ini.
Abdul Halim berkata, demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Mahmood Adam mengenai cadangan kerajaan untuk mengambil lebih sejuta anggota Rela dan JPAM untuk bekerja sambilan sebagai pengawal keselamatan bagi menggantikan pekerja asing.
Pada masa ini katanya, JPAM mempunyai kira-kira 80,000 anggota dan akan ditambah menjadi 100,000 sehingga akhir tahun ini, manakala RELA pula mempunyai sejuta anggota yang terlatih.
"Apabila syarikat pengawal keselamatan swasta mengambil pengawal keselamatan di kalangan anggota JPAM dan RELA, mereka tidak perlu lagi menjalani latihan keras kerana mereka sudah mahir dalam selok belok mengawal keselamatan," katanya.
Abdul Halim berkata, ini sekaligus membuka peluang pekerjaan tetap bagi anggota JPAM yang tidak mempunyai pekerjaan yang tetap.
Bagaimanapun katanya, syarikat-syarikat berkenaan perlu menimbang untuk menyediakan gaji yang lebih menarik untuk pekerja tempatan, setimpal dengan tugas yang akan dilaksanakan. - BERNAMA

Tidak sedar sarang tebuan atas pokok kelapa


TITI GAJAH- Terkejut dengan kehadiran sarang tebuan sebesar pemeluk orang dewasa di atas sebatang pokok kelapa di hadapan rumahnya di Kampung Selarung, di sini, seorang suri rumah bertindak menghubungi talian kecemasan 999.

Saadiah Mansur, 57, berkata, dia langsung tidak menyedari kehadiran sarang tebuan itu sehingga dia diberitahu oleh jiran yang lalu di hadapan rumahnya itu.

Menurutnya, apabila menyedarinya dia segera meminta bantuan penduduk kampung untuk membantu membuang sarang tebuan tersebut.

“Namun disebabkan keadaan sarang tebuan itu berada di ketinggian hampir 100 kaki di atas, maka ia agak sukar dibuang tambahan pula ia bahaya jika dibuang sendiri tanpa menggunakan alat yang sesuai,” katanya kepada Sinar Harian.

Saadiah berkata, pokok kelapa yang berusia lebih 50 tahun itu sebelum ini tidak pernah ada sarang tebuan seperti itu dan kejadian itu adalah yang pertama kali sejak mendiami rumahnya itu.

Menurutnya, dia bimbang jika sarang tebuan itu dibiarkan, maka keselamatan penduduk kampung yang melalui jalan di bawah pokok kelapa itu akan terancam terutama kepada kanak-kanak yang bermain di kawasan sekitar.

“Saya bimbang keselamatan sesiapa sahaja boleh terancam jika sarang tebuan itu dibiarkan, jadi saya bertindak menghubungi talian kecemasan bagi membuang dan memusnahkannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kota Setar, Koperal Salim Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.01 pagi dan beliau bersama dua anggota lain bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

Menurutnya, setiba di lokasi, beliau bersama anggotanya membuat tinjauan terlebih dahulu dan mendapati memang terdapat sarang tebuan di atas pokok kelapa tersebut.

“Pada mulanya kami mengalami sedikit kesukaran kerana keadaan pokok itu tinggi dan dengan tiupan angin yang kuat boleh membahayakan anggota operasi dan penduduk jika api yang dihalakan ke sarang tidak mengena, tebuan akan keluar dari sarang dan bertindak agresif.

“Bagaimanapun, anggota kami berjaya memusnahkan sarang tebuan tersebut dalam masa 45 minit dan tanpa menimbulkan sebarang kecederaan kepada orang lain,” katanya.- sumber sinar harian -

Tuesday, December 15, 2009

Pasukan bola sepak JPAM Daerah Kota Setar mantapkan kemahiran


Oleh : Shahful Bakri B Abd Razak
( JPAM Daerah Kota Setar )



ALOR SETAR –16 November 2009 Walaupun berjaya menjadi naib juara dalam pertandingan bola sepak baru-baru ini semperna sambutan Hari Pertahanan Awam Peringkat Negeri Kedah di sungai petani,skuad bola sepak JPAM KOTA SETAR masih belum berpuas hati dengan gelaran itu.Skuad bola sepak ini juga berazam agar dapat merangkul gelaran juara dengan memantapkan lagi corak permainan untuk menghadapi pertandingan pada masa akan datang.
Pasukan bola sepak yang baru di tubuhkan dua tahun lalu memerlukan banyak latihan malah harus bekerja keras bagi memastikan setiap perlawanan yang disertai menjadi juara,dan secara tidak langsung ia akan meningkatkan nama baik JPAM Daerah Kota Setar.

BULETIN JPAM DAERAH KOTA SETAR





ALOR SETAR – 13hb. Disember Pengarah Pertahanan Awam Negeri Kedah,
Mejar (PA) Mohtar bin Samat memberi taklimat kepada 84 perseta yang terlibat didalam pertandingan kecekapan yang akan diadakan di Terengganu pada 13hb hingga 18hb. Disember 2009 sempena sambutan hari pertahanan awam Malaysia peringkat kebangsaan.Antara aktiviti pertandingan yang di jalankan pada hari tersebut adalah Jalan Lasak,Menyelamat Tempat Tinggi,Melawan Kebakaran, Kawad Kaki dan Petolongan Cemas.

Dalam ucapan Pengarah JPAM Kedah, Mejar (PA) Mohtar Samat berkata, “memohon semua sentiasa berdisiplin dan menjaga imej JPAM Negeri Kedah dari kacamata JPAM Negeri-negeri yang lain dan kerja sama antara anggota yang terlibat, jangan ada di kalangan anggota yang bersikap berpuak-puak sesama anggota dan beliau juga berbangga dengan komitmen yang ditunjukkan oleh anggota-angota didalam latihan yang di jalankan selama ini.

JPAM Negeri Kedah perlu komited dengan pertandingan yang akan diadakan dan berjaya membawa pulang kejayaan ,secara tidak langsung ia akan meningkatkan lagi nama baik JPAM Negeri Kedah,”katanya.

Peragut nyawa di bawah almari


KUALA KEDAH – “Nasib baik ular tedung senduk itu tidak bertindak agresif ketika abang ipar terjumpa haiwan itu ketika hendak bersolat Maghrib di rumahnya di depan Lorong 7, Jalan Kilang,” kata Ahmad Yusof Ismail, 53, kepada Sinar Harian di sini.

Yusof berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 7.15 malam semasa abang iparnya, Abd Halim Zakaria, 55, ingin menunaikan solat Maghrib di bahagian atas rumahnya.

Menurutnya, mujur sebelum dia bersolat, dia terdengar bunyi haiwan berkenaan dan meninjau sekitar bilik untuk mencari punca bunyi itu, lalu menjumpai ular tedung senduk berkenaan berada di bawah almari pakaian.

“Terkejut dengan kehadiran haiwan berbisa ini, abang saya menjerit dan kedengaran bunyi bising dari rumahnya yang terletak bersebelahan rumah saya, lantas saya keluar untuk melihat.

“Setelah sampai, saya terkejut apabila ternampak kelibat seekor ular yang sebesar lengan orang dewasa berlingkar di bawah almari pakaian dalam bilik abang ipar.

“Nasib baik ketika kejadian, anak dan isterinya berada di bahagian bawah rumah dan tiada kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Yusof berkata, takut untuk bertindak sendiri, apatah lagi membunuh haiwan itu, mereka terus menghubungi Balai Polis Kuala Kedah untuk mendapatkan pertolongan.

Menurutnya, walaupun hampir satu jam menunggu :kedata�ngan penyelamat, ular berkenaan tidak berganjak dari bawah almari pakaian itu, malah tidak bertindak agresif sehingga Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Kota Setar tiba.

Sementara itu, Ketua Skuad JPAM Daerah Kota Setar, Koperal Salim Abd Aziz berkata, mereka menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 8.15 malam mengenai ular itu di rumah pemanggil berkenaan.

Menurutnya, setibanya di rumah berkenaan kira-kira 15 minit kemudian, mereka meninjau di sekitar rumah dan bilik itu sebelum membuat tangkapan.

“Bersama empat anggota JPAM ini, kami berjaya menemui ular berkenaan yang masih berlingkar di bawah almari pakaian tanpa berganjak atau bertindak agresif.

“Hampir 30 minit, ular ini berjaya ditangkap memandangkan keadaan bilik berkenaan yang agak sempit dan kami bimbang jika ular ini bertindak ganas, namun tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Zalim berkata, ular tedung senduk sepanjang 1.8 meter itu telah dibawa ke Pusat Kawalan 999 JPAM Daerah Kota Setar sebelum diserahkan kepada Jabatan Perhilitan Negeri.

Menurutnya, sepanjang minggu ini, anggota JPAM telah berjaya menangkap pelbagai jenis ular berbisa di beberapa kawasan termasuk di Jitra setelah menerima panggilan kecemasan.-sumber sinar harian

Sunday, November 29, 2009

Abseling Menara Alor Setar






Keberanian anggota-anggota Jabatan Pertahanan Awam Daerah Kota Setar Melakukan abseling di menara Alor Setar baru-baru ini

Keratan Sinar Harian 30 Nov 2009